INFO


Sejarah tidak boleh menolak, peranan A.L Birch, seorang jurutera British yang membawa set radio pertama ke Malaya pada tahun 1921. Dengan kemasukan radio tersebut, maka tertubuhlah Persatuan Wireless Johor pada tahun 1923, yang memulakan siaran melalui gelombang 300 meter. Pada tahun 1925, Persatuan yang sama juga ditubuhkan di Pulau Pinang. Diikuti pula dengan penubuhan Persatuan Wireless Tanah Melayu di Kuala lumpur pada tahun 1928. Persatuan Wireless Pulau Pinang telah berjaya mendapat lesen yang juga merupakan lessen pertama dikeluarkan di Malaya pada 24 Ogos 1934 atas nama seorang ahli persatuan bernama Khoo Sian Ewe.

Penubuhan Jabatan Siaran Radio di Singapura pada 1 April 1946, secara rasmi menjadi tarikh keramat bermulanya sejarah radio di Malaya. Perkembangan dan keberkesanan Radio Malaya turut mempengaruhi Sabah & Sarawak. Ini kerana pada tahun 1952, telah menyaksi bidang penyiaran secara percubaan bermula di Borneo Utara. Pelancaran Rasmi Radio Sarawak pada tahun 1954 & Radio Sabah pada tahun berikutnya telah membawa era baru kepada rakyat Sabah & Sarawak.

Siaran langsung penurunan The Union Jack & pengisytiharan kemerdekaan yang disiarkan secara langsung oleh Radio Malaya adalah bahan sejarah yang amat penting yang telah dilaksanakan oleh Radio Malaya.

Satu demi satu peristiwa bersejarah Radio Malaya, dibawa kepada pendengarnya. Nyata Radio Malaya adalah amat penting ketika itu untuk menjadi mata, telinga dan mulut rakyat bagi menyatakan matlamat dan arah tuju pentadbiran kerajaan. Selain daripada berperanan untuk menyebar berita, Radio Malaya banyak menyiarkan kejayaan kerajaan dalam membangun Negara. Juga mewujudkan suasana harmoni di kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa & agama.

Radio Malaya juga banyak memainkan peranannya dalam membentuk sahsiah diri untuk menyemarak dan memperkayakan pejuang, pelapis, pengamal seni tanah air, radio juga banyak menganjurkan pertandingan. Antaranya bintang radio yang telah melahirkan ramai bintang seni yang disegani hingga ke hari ini.

Peranan stesen radio negeri-negeri juga, banyak membantu kerajaan untuk mendengar dan menyelami permasalahan rakyat. Ini menjadikan RTM sebagai saluran yang berkesan untuk menjadi lidah rakyat & kerajaan. Menyedari masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum & etnik, RTM telah mewujudkan beberapa siaran radio yang mewakili kaum & etnik Malaysia. Keberkesanan stesen radio ini amat ketara & memberi satu impak besar kepada masyarakat. Ianya dapat kita lihat sehingga hari ini.

Pengenalan

Labuan diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 16 April 1984. Selepas dua tahun dan empat bulan pengisytiharan tersebut iaitu pada 31 Ogos 1986, Radio Malaysia Labuan telah ditubuhkan. Lokasinya terletak di kawasan seluas hampir 3.19 hektar, di Jalan Tanjung Taras kira-kira 3 kilometer dari pusat bandar.

Sejarah awal stesen ini bermula di sebuah rumah Kerajaan yang mana ketika itu hanya menggunakan sebuah kontena yang telah diubahsuai menjadi bilik hubungan atau konti.

Pada masa itu, kontena ini hanya dilengkapi dengan peralatan teknikal yang serba kekurangan. Walau bagaimanapun, Radio Malaysia Labuan dikatakan stesen RTM pertama yang dikendalikan secara ‘One-Man-Operational-Conty’ iaitu kerja – kerja siaran dikendalikan oleh seorang juruhebah sahaja. Ia dilancarkan oleh Menteri Penerangan ketika itu, Tengku Ahmad Rithaudden.

Operasi stesen ini dikendalikan oleh 10 orang kakitangan sahaja yang diketuai oleh Encik Abu Samah Mahat sebagai Pengawal Penyiaran, empat orang petugas di Bahagian Rancangan, empat orang di Bahagian Kejuruteraan serta seorang petugas di Bahagian Berita dan Ehwal Semasa dan bersiaran menerusi gelombang FM stereo 102.9 MHz.

Januari 1992, masa siaran telah ditambah kepada 10 jam sehari yang bermula pada 6.00 pagi sehingga 9.00 pagi dan disambung semula mulai jam 12.00 tengah hari sehingga 7.00 malam.

1 Januari 1994, masa siaran selama satu jam telah ditambah dalam Bahasa Inggeris dan menjadikan waktu siarannya 11 jam sehari. Ini merupakan usaha Radio Malaysia Labuan selaras dengan kemajuan W.P. Labuan sebagai Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa.

21 Julai 1994, ekoran daripada penyelarasan gelombang siaran seluruh Sabah, siaran Radio Malaysia Labuan menerusi gelombang FM stereo 102.9 MHz telah tukar kepada 103.7 MHz. 

1 Ogos 1994, siaran awal pagi dipercepatkan 15 minit bemula jam 5.45 pagi. Ini bagi menyelaraskan waktu siaran dengan Rangkaian Nasional RTM Kota Kinabalu yang menyiarkan Berita Ringkas pada jam 6.00 pagi. Ini bermakna jumlah waktu siaran pada ketika itu telah bertambah kepada 11 jam 15 minit sehari.

 Julai 1994, pembinaan bangunan baharu Stesen Radio Malaysia Labuan telah dijalankan.

Oktober 1995 Stesen Radio Malaysia Labuan siap dibina. Pemasangan peralatan teknikal juga selesai pada bulan Disember tahun yang sama.

9 Februari 1996, Radio Malaysia Labuan secara rasmi menerima bangunan barunya daripada Jabatan Kerja Raya W.P. Labuan.

1 Julai 1996 mula beroperasi di bangunan baharu dan  waktu siaran ditambah lagi kepada 14 jam 15 minit bermula dari pukul 5.45 pagi sehingga 8.00 malam setiap hari.

Tahun 2000, sebuah pemancar telah dibina di Bukit Timbalai dan melengkapkan lagi Stesen Radio Malaysia Labuan agar dapat memberi siaran yang lebih berkualiti kepada pendengar setempat.

Julai 2003, siaran Radio Malaysia Labuan boleh diikuti menerusi saluran tambahan gelombang FM stereo 89.4 MHz dan berada di bawah pentadbiran RTM Sabah.

Bagaimanapun, sesuai dengan pentadbiran Labuan di bawah Wilayah Persekutuan maka stesen ini telah berpisah dengan RTM Sabah pada tahun 2003 dan mewujudkan pentadbiran sendiri di bawah pemerhatian terus dari Angkasapuri. Stesen ini juga menjadi Pusat Tanggungjawab sendiri (PTJ).

11 Mac 2004 , bangunan baharu stesen dan pemancar baru di Bukit Timbalai ini dirasmikan serentak oleh Menteri Penerangan Tun Khalil Yaakub yang diwakili Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan Datuk Rizalman Abdullah.

Jun 2004 waktu siaran Radio Malaysia Labuan mencapai 15 jam sehari iaitu mulai 6.00 pagi sehingga 9.00 malam.

1 April 2005 Sempena Ulangtahun RTM ke -59 berlangsungnya pelancaran penjenamaan semula radio yang melahirkan wajah baru stesen – stesen radio Kerajaan yang melibatkan 32 stesen seluruh negara termasuk Radio Malaysia Labuan.

11 Jun 2005, Radio Malaysia Labuan nama sebelum ini dengan rasminya menjadi LABUANfm dan mulai malam itu juga waktu siaran bertambah kepada 18 jam sehari yang bermula 6.00 pagi sehingga 12.00 tengah malam. Mulai Disember 2006 juga, siaran LABUANfm boleh diikuti seluruh dunia melalui internet.

1 Februari 2014, LABUANfm dipendekkan waktu siarannya selama 12 jam bermula pukul 7.00 pagi hingga 7.00 malam.

13 Februari 2023 sempena Hari Radio Sedunia, LABUANfm mula bersiaran selama 13 jam iaitu bermula pukul 6.00 pagi hingga 7.00 malam.

Klik pada jadual untuk melihat paparan penuh.


Maklumat Bahagian

 

Sila klik pautan direktori untuk maklumat lanjut.