Program Sinergi LABUANfm: Ziarah Patriot



Diterbitkan pada 13 Nov, 2023

Jabatan Penyiaran Negeri Wilayah Persekutuan Labuan (RTM Labuan) menganjurkan Program Sinergi LABUANfm: Ziarah Patriot pada 17 Oktober 2023 dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia. Dengan tema program, Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, program dilaksana sebagai aktiviti tanggungjawab sosial terhadap pesara tentera yang pernah mempertahankan Negara suatu ketika dahulu.

Menurut Timbalan Pengarah Penyiaran Negeri WP Labuan, Puan Fauziah Mohd Sidek “LABUANfm cakna melalui aktiviti kebajikan seperti ini dapat kita salurkan sedikit bantuan dan berkongsi penghargaan akan jasa pesara tentera yang ada di Labuan”. Tambahnya, program itu juga diharap dapat memberi ruang dan peluang penyampai radio dan warga kerja LABUANfm mendekati komuniti khususnya veteran tentera. Antara pengisian program adalah aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan rumah dan penyerahan Bakul Makanan kepada dua pesara tentera.

Pesara tentera yang pertama ialah Hassanudin Abdullah, berusia 84 tahun menetap di Kampung Kerupang. Beliau pernah bertugas di Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) dan pernah mengalami insiden ditembak di bahagian kaki kiri semasa bertugas. Beliau kini tinggal bersama isteri dan menyara dua orang cucu yang masih bersekolah rendah.

Pesara kedua pula Ramli Kalidin berusia 69 tahun dan menetap di Kampung Layang-Layangan. Beliau bertugas sebagai tentera Darat di Kem Tentera Sandakan dan pernah mengikuti operasi di Sarawak. Beliau tinggal bersama isteri dan 3 orang anak yang masih bersekolah.