Tuesday, November 21, 2017

Bicara Hidayah bersama Ustaz Ustaz Ahmad Sharizal Mohd Saffian

18920523 1450912621636585 9080105804473701643 n

 

Bicara Hidayah ke udara setiap hari Jumaat pukul 10 pagi hingga 11 pagi. jom bersama kami dalam segmen Bicara Hidayah membawakan anda pelbagai tazkirah serta nasihat agama agar kita sama-sama menuju ke jalan yang diredhai Allah S.W.T.

 

 

KELEBIHAN MEMBACA AL-QURAN

Allah SWT berfirman di dalam surah Fatir, ayat 29 & 30  yang berbunyi:

إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَّن تَبُورَ (29) لِيُوَفِّيَهُمْ أُجُورَهُمْ وَيَزِيدَهُم مِّن فَضْلِهِ ۚ إِنَّهُ غَفُورٌ شَكُورٌ (30)

Maksudnya:

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah, dan tetap mendirikan solat serta mendermakan daripada apa yang kami kurniakan kepada mereka secara tertutup ataupun terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian. (29) Supaya Allah menyempurnakan pahala mereka dan menambahkan mereka daripada limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah maha pengampun lagi sentiasa membalas dengan sebaik-baiknya. (orang-orang yang bersyukur kepadaNya)” (30)

Allah SWT menjanjikan kelebihan dan pahala yang amat besar kepada orang-orang yang membaca Al-Quran serta menjadikan Al-Quran itu sebagai bacaan utama di dalam kehidupan seharian.  Ia dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran, maka baginya diberi 10 pahala dan ditambah 10 lagi kebajikan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf. ”  (Hadis Riwayat Tirmizi)

Selain itu, baginda juga pernah membuat perbandingan terhadap orang yang membaca Al-Quran menerusi sabdanya: “Perumpamaan Mukmin yang membaca Al-Quran seperti buah Utrujjah harum baunya dan enak rasanya dan Mukmin yang tidak membaca Al-Quran seperti buah tamar enak rasanya tetapi tiada haruman.” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim).

Terlalu banyak ganjaran yang Allah berikan kepada pembacanya. Oleh itu, janganlah kita melepaskan peluang ini dengan menjadikan bacaan Al-Quran itu sebagai budaya di dalam hidup kita serta berusaha membacanya pada setiap hari walaupun satu ayat di mana sahaja kita berada.

Marilah kita berdoa kepada Allah SWT agar sentiasa memberikan kita masa yang cukup untuk membaca Al-Quran pada waktu siang dan malam. Sebagaiman doa yang selalu dibacakan ketika khatam Al-Quran: Ya Allah kurniakanlah kepada kami untuk membaca Al-Quran sepanjang malam dan siang, Amin ya rab al-Alamin.


KELEBIHAN BERSEDEKAH 

Sedekah adalah suatu amalan yang sangat mulia di sisi Islam. Setiap sedekah yang kita hulurkan, pasti akan diberikan ganjaran yang tidak terhingga, malah dosa kita juga turut terhapus disebabkan sedekah itu. Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api”.

(Hadis Riwayat Imam Tirmizi)

Selain itu, sedekah juga akan memberi keberkatan pada harta kita. Dengan adanya keberkatan, harta yang sedikit seolah-olah dirasakan banyak dan mencukupi. Sebaliknya tanpa keberkatan, harta yang banyak dirasakan seakan-akan sempit serta tidak mencukupi meskipun memiliki harta yang banyak dan melimpah ruah. Hayatilah sabda nabi s.a.w yang bermaksud:

“Harta tidak akan berkurang dengan sedekah…”

(Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu, sempena kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini, marilah bersama kita meringankan tangan untuk bersedekah semampu yang mungkin, menyediakan juadah berbuka puasa kepada jiran ataupun saudara segama kita dan sebagainya. Ingatlah ganjaran yang disebutkan oleh nabi s.a.w yang bermaksud:

“Sesiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa maka baginya seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi sedikitpun dari pahalanya.”

(Hadis Riwayat Imam Ahmad & At-Tirmizi)

Downloadhttp://bigtheme.net/joomla Joomla Templates