Suasana agak tenang dan lengang di beberapa cawangan bank, di Labuan, hari ini. Ini berdasarkan dari tinjauan pemberita RTM Labuan, tengah hari tadi, Tinjauan dibuat kerana hari ini merupakan hari gaji bagi pnjawat awam, yang juga serentak dengan pembayaran bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sebelum ini, dikhabarkan semua cawangan bank akan dipenuhi orang ramai, yang ingin mengambil gaji dan juga wang bantuan. Kru RTM juga mendapati, jalan raya juga lengang, dan pasara raya juga tidak dipenuhi orang awam. Ini menunjukkan kesedaran masyarakat setempat semakin tinggi, berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan tidak keluar pada waktu puncak.

Tidak hanya menumpukan penguatkuasaan di darat, malah keselamatan di perairan juga turut dititikberatkan bagi memastikan rangkaian wabak COVID-19 dapat diputuskan. Agensi terlibat seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM), Pasukan Polis Marin dan Majlis Keselamatan Negara (M-K-N) Labuan komited menggalas tanggungjawab penguatkuasaan tersebut menerusi Op Inter Agensi COVID-19.

Pengarah Agensi Penguatkuasa Maritim (A-P-M-M) Zon Maritim Labuan, Komander Nor Bakari Abu Bakar berkata, penguatkuasaan itu bagi mengekang sebarang aktiviti pencerobohan sekaligus berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Berikutan itu, agensi serta jabatan yang bertanggungjawab turut memfokuskan pemeriksaan terhadap pekerja-pekerja kapal sama ada yang ingin ke kapal ataupun mendarat. Komander Nor Bakari ditemui dalam satu sidang media, di Labuan. Tambahnya, operasi tersebut melibatkan 15-kawasan operasi di sekitar perairan Labuan yang melibatkan lebih 100-kekuatan anggota.