Berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (P-K-P), untuk pertama kalinya, tiada sambutan Hari Polis diadakan bagi tahun ini. Perkara itu diumum Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di ibu negara semalam, demi mematuhi PKP yang diumumkan kerajaan.

Dalam ucapan Hari Polis ke-213 beliau berharap, warga PDRM akan terus kental dan bersemangat memberi khidmat demi menjaga kedaulatan, keselamatan, kesejahteraan rakyat dan negara, berikutan ia satu khidmat yang mulia dan diberkati Allah S.W.T.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bador berkata, pada tahun ini, sambutan diraikan dengan mengenang pengorbanan warga PDRM mengenepikan keselamatan diri sendiri, demi melindungi masyarakat daripada ancaman wabak maut COVID-19.

Kesediaan meletakkan diri dalam situasi berisiko tinggi adalah bukti nyata sejauh mana PDRM sanggup berkorban untuk masyarakat dan negara. Beliau turut mengucapkan penghargaan atas segala sokongan dan kerjasama yang telah diberikan kepada PDRM, bagi sama-sama membantu memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad berkata, sempena Ulang Tahun Hari Polis kali ini, seluruh warga Pasukan diseru mempacakkan tekad dan membulatkan iltizam, dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (P-K-P) agar rantaian penularan Covid-19, dapat diputuskan.

Menurutnya, kerjasama warga Labuan dalam mematuhi PKP harus turut diberi penghargaan, atas kesedaran menangani pandemik itu. Sehubungan itu, warga Labuan yang berkeperluan untuk ke bandar bagi urusan mengambil gaji di bank dan mesin-mesin A-T-M hujung bulan ini, perlu kekal mematuhi arahan kebersihan serta jarak individu, dan elakkan untuk keluar pada waktu puncak.

Tindakan ini amat penting bagi mengelakkan berlakunya gelombang ketiga, yang berupaya membawa implikasi yang lebih serius kepada kesejahteraan rakyat Malaysia. Sementara itu Superintendan Muhamad Farid berkata, di Labuan penguatkuasaan PKP melibatkan 3 sekatan jalan raya, dengan 30 pegawai kanan serta 158 pegawai rendah, dibantu 56-anggota Angkatan Tentera, dan masing-masing 8-orang daripada RELA dan Angkatan Pertahanan Awam.

Dengan jumlah keseluruhan 260-petugas lapangan, ditugaskan di 15 pasukan pemantuan seluruh labuan dibawah 4 pentabiran balai, yang beroperasi selama 24-jam. Selain unit pemantau yang bertugas menasihati dan mengawal pergerakan penduduk setempat melalui 4 pentadbiran balai, PDRM turut mengerahkan unit rondaan bermotosikal dan MPV untuk membuat hebahan, snap-check di kampung-kampung dan bandar supaya rakyat pulau ini mematuhi perintah pergerakan berkenaan.