Dalam perkembangan lain, seorang wanita bekerja sebagai penjaga hotel mengalami kerugian 1 ribu 400 ringgit, apabila disamun oleh seorang lelaki tempatan bersenjatakan pisau, lebih kurang 4.10 pagi di rumah sewanya di Kampung Sungai Labu, SEMALAM.

Walaubagaimanapun, lelaki berkenaan yang merupakan seorang penganggur berumur 28 tahun berjaya ditahan polis di salah satu premis pool di kawasan Bandar, kira-kira 2.00 petang.

Ketua Polis Labuan, Superintenden Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya telah merampas sebuah telefon bimbit milik mangsa dan sebilah pisau pemotong sayur, disyaki digunakan oleh suspek semasa kejadian.

Dalam kejadian itu, beliau memaklumkan, suspek telah memecah masuk ke dalam rumah mangsa dan mengarahkan mangsa supaya tidak menjerit.

Namun demikian, mangsa melawan dan berlaku pergelutan sehingga mengalami kecederaan di bahagian muka, lengan dan perut, akibat ditendang dan ditumbuk oleh suspek.

Suspek kemudiannya bertindak mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa dan meminta mangsa menyerahkan barang-barang berharga di dalam begnya iaitu sejumlah wang tunai 80 ringgit dan telefon bimbit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan, iaitu melakukan rompakan dengan sengaja mencederakan mangsa.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.