Keusahawanan negara perlu dipertingkatkan, terutamanya dalam keadaan ekonomi dunia yang kompetitif, mencabar serta penuh dengan ketidaktentuan, akibat perang perdagangan yang berlaku ketika ini.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembangunan keusahawanan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menjadi aset penting kerajaan untuk meningkatkan tahap ekonomi rakyat, selain strategi untuk mengeluarkan negara daripada perangkap pendapatan pertengahan.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Dasar Keusahawan Nasional (DKN), di ibu negara.

Menurutnya, pelancaran dasar itu amat wajar, dan ia diperkenal tepat pada masanya.

Selain itu, Dr. Mahathir berkata, kerajaan juga ingin melihat sumbangan sektor PKS yang lebih besar, kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Melalui DKN katanya, menjelang tahun 2025, PKS disasar menyumbang 45-peratus kepada KDNK negara, 72-peratus kepada jumlah keseluruhan pekerjaan, serta 25-peratus sumbangan eksport kepada KDNK.

Tambah beliau, dengan adanya dasar itu, beberapa isu yang mengganggu kelompok usahawan akan dapat diselesaikan, melalui fokus dasar yang holistik untuk membina eko-sistem keusahawanan yang inklusif.