Susulan terdapat pelajar yang disahkan positif COVID 19 melalui kontak rapat kes yang dirawat di Hospital Labuan, 2 buah sekolah lagi diberi notis penutupan, di Labuan.

Sekolah itu ialah SMK Pantai dan SK Kerupang, yang mula ditutup semalam selama 7 hari, sehingga 20 Oktober ini.

Tinjauan kru RTM Labuan di kedua-dua sekolah berkenaan mendapati, pelajar menjalani ujian saringan COVID 19.

Ini bagi mengelakkan penularan dalam kalangan warga sekolah.

Kesemua pelajar dan guru termasuk kakitangan pentadbir menjalani kuarantin, selepas ujian saringan dibuat oleh Jabatan Kesihatan Labuan.

Sementara itu, semua 24 buah sekolah rendah dan menengah di wilayah ini, dibuka seperti biasa.

Bagi 3 sekolah yang ditutup, aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan secara dalam talian.

Sebelum ini, sekolah pertama diarah tutup ialah SMK Mutiara, pada 8 Oktober lepas, susulan seorang pelajarnya didapati positif pandemik itu.

Semalam, Labuan mencatat 8 kes baharu positif COVID 19, dengan jumlah kumulatif sebanyak 86-kes.