Tiada sekatan dalam aktiviti rantaian bekalan dan pemasaran makanan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia, ia merangkumi aktiviti pertanian, penternakan, perikanan, akuakultur yang dibenarkan untuk terus beroperasi bagi memastikan bekalan daging, sayur-sayuran, buah-buahan serta hasil perikanan mencukupi.

Selain itu, perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang menyokong rantaian bekalan dan pemasaran makanan termasuk segala input pertanian dan makanan ternakan dibenarkan beroperasi seperti sedia kala. Ini bagi memastikan bekalan produk-produk penting dan kritikal yang dikeluarkan oleh petani, nelayan, penternak sampai kepada pengguna dalam tempoh masa dan dalam keadaan yang sempurna. Seterusnya, premis atau kilang yang menyokong rantaian bekalan makanan yang berkaitan dan ditakrifkan  sebagai kritikal dibenarkan beroperasi dengan penugasan pekerja di tahap minima.