Satu kluster baharu telah dikesan di Labuan iaitu Kluster Bah Bundle, melibatkan kes indeks ke 11 ribu 771 yang dikenal pasti positif hasil saringan ujian kesihatan di pintu masuk di Terminal Feri Labuan, ketika pulang dari kawasan berisiko tinggi, pada 2 Oktober lalu.

Pesakit itu telah dimasukkan ke Hospital Labuan untuk rawatan selanjutnya.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dikenal pasti dan 2 lagi kes positif direkodkan, melibatkan seorang wanita 26 tahun pada 10 Oktober dan seorang lagi semalam yang membabitkan lelaki berumur 37 tahun.

Pengarah Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Bohari berkata, lebih 400-orang telah disaring dan daripada jumlah itu telah menerima keputusan ujian, manakala selebihnya masih lagi menunggu ujian saringan tersebut.

Beliau berkata demikian, dalam program Roger-Roger LabuanFM, PAGI TADI.

Tambah beliau, bagi Kluster Bah Bangat pula, sehingga hari tidak ada pertambahan kes baharu positif wabak itu.

Ini kerana, kawasan berkenaan telah ditutup sepenuhnya dan dikawal ketat oleh agensi penguatkuasa yang melibatkan Jabatan Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan Polis.

Namun demikian, Dr. Ismuni memaklumkan individu yang terlibat akan dilakukan ujian kesihatan kali ke-2 pada 14 Oktober ini.