24 butir peluru dipercayai peninggalan Perang Dunia ke 2 dijumpai di Tandas Awam di Anjung Ikan Bakar, Kg. Lubok Temiang PAGI TADI.

Ketua Polis Labuan, Superintenden Muhamad Farid Ahmad berkata, maklumat penemuan itu diperolehi daripada seorang pekerja wanita di Bahagian Pembersihan Perbadanan Labuan, ketika melakukan pembersihan tandas awam, kira-kira jam 7 pagi.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 9.30 pagi daripada pekerja itu, berikutan penemuan objek yang disyaki peluru lama, di ruangan tandas lelaki.

Hasil siasatan di tempat kejadian, menemukan 22 butir peluru berukuran saiz 7.62 milimeter dan 2 butir lagi berukuran 20 milimeter.

Menurut beliau, keadaan peluru yang masih disaluti tanah dan berkarat, dipercayai telah dijumpai oleh individu di tempat lain lalu dibawa dan di tinggalkan di tandas berkenaan.

Justeru, beliau menasihatkan mana-mana individu yang menjumpai objek yang mencurigakan hendaklah segera dimaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ia bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda.