Hampir 400-anggota membabitkan polis dan tentera terlibat dalam operasi sekatan jalan raya melalui Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan, di Labuan. Operasi itu bagi mengawal warga setempat untuk menghindari rangkaian penularan wabak COVID-19.

Ketua Polis Labuan, Superitenden Muhamad Farid Ahmad berkata, operasi itu telah dipecahkan kepada 15-kumpulan pemantauan yang melibatkan 3-lokasi sekatan yang telah dikuatkuasakan. Katanya, anggota tentera yang terlibat merangkumi Tentera Udara (TUDM), Tentera Laut (TLDM) dan Tentera Darat.

Menurut beliau, selain tumpuan di laluan utama ke bandar, kawasan luar bandar turut juga menjadi tumpuan, memastikan masyarakat setempat supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Beliau berkata demikian, ketika menyampaikan taklimat kepada anggota tentera yang terlibat.

Dalam pada itu, Superitenden Muhamad Darid Ahmad, berkesempatan meninjau perkembangan operasi sekatan jalan yang dilakukan. Turut meninjau sama, Panglima Wilayah Udara 2, Kompleks TUDM Kubong, Mejar Jeneral Dato’ Shamsudin Kassim.

Sementara itu, suasana agak tenang dan lengang di Labuan, selari Perintah Kawalan Pergerakan yang dijalankan. Ia susulan kawalan sekatan jalan raya yang dilakukan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Labuan dan Anggota tentera, bagi memastikan warga di Labuan mematuhi perintah yang diarahkan oleh pihak kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19.

Manakala, pihak berkuasa menerusi jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19, sentiasa memantau dan menyampaikan maklumat dari semasa ke semasa, memastikan warga Labuan mengetahui perkembangan yang berlaku di pulau ini. Dalam pada itu, seluruh peniaga kedai dan restoren di pulau ini telah menutup operasinya, selaras tindakan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan.