Jabatan Kesihatan Labuan hari ini telah menerima sebuah Mesin Pengangkut Pesakit Covid. Pengarahnya, Dr. Ismuni Bohari berkata, kemudahan peralatan itu adalah untuk digunakan terhadap pesakit penyakit berjangkit.

Katanya, dengan menerima peralatan mesin tersebut, ia bagi memudahkan lagu petugas kesihatan menjalankan tugas, selain memberi keselamatan kepada kakitangan yang bertugas. Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita RTM Labuan.

Menurut Dr. Ismuni, bagi memastikan rantaian penularan virus COVID-19 diputuskan, beliau sekali lagi mengingatkan warga Labuan, agar duduk dan berehat di rumah, dan tidak keluar ke mana-mana sekiranya tiada urusan penting. Ini bagi menjamin keselamatan dan kesihatan masyarakat, daripada risiko jangkitan wabak tersebut.

Sementara itu, Dr. Ismuni berkata, berkuatkuasa bermula hari ini, pihaknya tidak lagi menerima pelawat di Hospital Labuan, bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. Katanya, tempoh penguatkuasaan itu dibuat sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

Dalam pada itu, bagi mereka yang diminta hadir atau ingin datang sendiri untuk membuat pemeriksaan saringan COVID-19, diminta berbuat demikian di Klinik Kesihatan Membedai, dan bukannya di Hospital Labuan. Klinik tersebut dibuka bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang, setiap hari Isnin hingga Jumaat. Manakala pada hari Sabtu dan Ahad, ia dibuka dari jam 8.00 pagi sehingga 2.00 petang.

Selain itu, mana-mana jemaah tabligh yang hadir ke Ijtimak Tabligh di Seri Petaling, yang masih tidak membuat saringan, diminta hadir menjalani saringan COVID-19, di klinik Kesihatan Membedai secepat mungkin. Serta; Qariah yang telah menunaikan solat jumaat pada 13 Mac lalu, di Surau Al-Ubudiyyah, Perumahan Kakitangan Awam Bukit Kuda, juga diminta hadir ke Klinik Kesihatan Membedai untuk membuat saringan COVID-19.