Pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) menafikan tuduhan seorang individu dengan mendakwa pihak UMS Kampus Antarabangsa Labuan, menzalimi dan memenjarakan pelajarnya di asrama tanpa makanan, dan tiada bantuan keperluan asas.

Menurut Naib Cancelor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin dalam kenyataan rasminya, pihak pengurusannya menegaskan bahawa pelajarnya berada dalam keadaan baik, serta kebajikan sentiasa dijaga dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. 

Beliau berkata, tindakan yang diambil selari dengan arahan kerajaan pusat, berkaitan dengan penularan virus COVD-19. Namun demikian, pihak UMS mendapati kandungan video tersebut berunsurkan fitnah dan berniat jahat, dengan mengeluarkan fakta yang tidak benar.

Katanya, tindakan itu menimbulkan kegusaran khususnya dalam kalangan pelajar dan ibu bapa, kerana dakwaan demikian. Oleh itu, pihak universiti menuntut agar individu berkenaan menarik balik tuduhan, serta memohon maaf secara terbuka kepada pihak UMS.

Selain itu, pihak individu tersebut diminta membuat pernyataan rasmi, bagi membetulkan keadaan serta memadamkan video tersebut, di laman media sosial. Pihak UMS akan mengambil tindakan undang-undang, sekiranya individu berkenaan tidak berbuat demikian.