Program Komuniti Sejahtera (PKS) memberi kesedaran kepada masyarakat, mengenai amalan gaya hidup sihat. Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Labuan, En. Gilbert Julian berkata, objektif program itu mewujudkan hubungan dalam kalangan komuniti kampung bersama pemimpin tempatan, selain agensi kerajaan, swasta, dan badan bukan kerajaan.

Katanya, ia juga bagi memperkasa semangat kesukarelaan serta meningkatkan kemahiran pendidikan kesihatan dalam komuniti. Program dirasmikan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon Labuan, En. Simsudin Sidek. Pelbagai pengisian diadakan, antaranya program 10 000 ribu langkah, ceramah kesihatan, pertandingan menumpah ambuyat dan mewarna kanak-kanak, demontrasi masakan sihat, dan pameran.

           Sementara itu, menurut En. Simsudin, Dasar Pembangunan Luar Bandar, telah menggariskan 11 teras, yang perlu dicapai oleh masyarakat. Ia bagi melahirkan masyarakat luar bandar yang sejahtera dalam pelbagai aspek; termasuk sosial, ekonomi, budaya, kesihatan, dan persekitaran.

       Katanya, pihak kerajaan amat menitikberatkan budaya dan amalan gaya hidup sihat, dalam komuniti desa. Tambah beliau, penglibatan agensi kerajaan secara kolaborasi, merupakan satu kaedah terbaik, menjayakan sesuatu program yang dirancang.

        Justeru, kesedaran orang ramai tentang kepentingan dan penjagaan kesihatan perlu dipertingkatkan. Turut hadir, Pengerusi (MPKK) Kg. Lubok Temiang, En. Khalid Mohd. Hanif.