Anggota tentera akan ditugaskan untuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), bermula TENGAH MALAM INI, bagi memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan, dalam membasmi penularan wabak COVID-19.

Menurut kenyataan media Pejabat Perdana Menteri, langkah tersebut dapat meningkatkan kawalan dalam memastikan rakyat patuh dan berada di rumah masing-masing, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Selain itu, tindakan tegas akan diambil terhadap orang ramai yang ingkar dan tidak mematuhi perintah tersebut.

Sementara itu di Labuan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan, telah menguatkuasakan penutupan Jalan Tuanku Sharif Kedah, oleh Polis Labuan, bermula SEMALAM sehingga 31 Mac 2020. Ia bertujuan memudahkan pihak berkuasa melaksanakan kawalan perintah tersebut.