Persidangan dan seminar pemantapan khidmat polis bantuan kontinjen Sabah telah berlangsung kelmarin, melibatkan seramai 130-anggota polis bantuan pelbagai pangkat, di salah sebuah hotel di Labuan.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Dato’ Omar Mammah.

Turut hadir sama, Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato’ Sri Amir Hussien, Pengerusi Eksekutif LLPM, Dato’ Sri Mohd. Alias Abd. Rahman, Ketua JPJKK Kontinjen Sabah, S.A.C Dato’ Ahmad Fadzillah Mohamed dan Timbalan Presiden Polis Bantuan Malaysia, En. Muhamad Najib Hussain.

Majlis itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kontinjen Sabah, Labuan Liberty Port Management (LLPM) dan Persatuan Polis Bantuan (APA).

 Dalam perkembangan berkaitan, terdapat 5-ribu 172 perjawatan ditawarkan dan daripada jumlah tersebut 2-ribu 8-ratus perjawatan telah diisi setakat ini. Dalam pada itu, sebanyak 40 buah agensi Polis Bantuan dalam sektor kerajaan dan swasta, telah diluluskan permit penubuhannya di Sabah dan Labuan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Dato’ Omar Mammah berkata, agensi polis bantuan ditubuhkan di bawah PDRM dan memperolehi kelulusan secara bertulis daripada Ketua Polis Negara, di bawah seksyen 50 Akta Polis 1967.

Beliau memaklumkan masih terdapat agensi yang belum membuat struktur polis bantuan mengikut susunan pangkat. Katanya, struktur berkenaan haruslah diwujudkan agar memudahkan proses penyeliaan dalam penugasan bagi memudahkan aspek “Command and Control”.