Tidak hanya bergantung kepada pengumuman menerusi televisyen , radio dan media sosial, Jabatan Penerangan (JAPEN) WP Labuan mengambil langkah pro-aktif menyebar luas keperluan pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan yang telah dikuat kuasa melalui program Info on Wheels (IOW).

5-orang kakitangan Japen Labuan diketuai Pengarahnya, En. Supian Musa bergerak ke seluruh Bandar, kawasan perkampungan serta kawasan perumahan sekitar Pulau Bebas cukai ini. Menurut En. Supian, sebaran maklumat mengenai  Perintah Kawalan Pergerakan tidak seharusnya terhad di media sosial sahaja bahkan boleh dilakukan menerusi kaedah penerangan secara terus di lapangan .

Ia juga sebagai satu inisiatif JAPEN Labuan, bagi memberi maklumat kepada rakyat tentang mekanisme pelaksanaan perintah berkenaan dalam usaha  menanangi penularan covid-19, khususnya Labuan.

Antara informasi yang dikongsikan IOW adalah megenai larangan semasa perintah kawalan pergerakan dilaksanakan serta cara – cara pembersihan diri dan kawasan kediaman bagi mengekang penularan virus covid-19. Justeru, diharap agar informasi yang diberikan mampu diserap oleh warga Labuan khususnya untuk membendung penularan wabak covid-19 yang semakin membimbangkan.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Labuan, En.Supian Musa turut menasihati orang ramai, khususnya warga Labuan agar sentiasa patuh pada peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Beliau berkata demikian kepada Pemberita RTM ketika ditemui selepas program IOW di pusat bandar.