Satu video telah tular di media sosial,  berikutan anggota polis Labuan dan pasukan perubatan dari Hospital Labuan menjalankan tugas menggunakan kekerasan secara minima, terhadap seorang lelaki berumur 68-tahun, bagi tujuan ujian saringan COVID-19 secara paksa.

Ketua Polis Labuan, Superitenden Muhamad Farid Ahmad berkata, tindakan itu diambil di bawah peruntukkan Seksyen 15(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Katanya, lelaki berkenaan sangat diperlukan hadir untuk melakukan ujian saringan serta jalani kuarantin disebabkan beliau merupakan kontak rapat kepada salah seorang jemaah tabligh, iaitu anaknya yang telah hadir dalam perhimpunan di Masjid Sri Petaling, Selangor, baru-baru ini. Namun demikian, lelaki berkenaan yang tinggal serumah bersama anaknya tidak mengendahkan sebarang arahan dan perintah untuk hadir pada 17 Mac lepas, untuk saringan tersebut.

Superitenden Muhamad Farid berkata, pasukan pegawai perubatan telah datang ke rumah kediaman lelaki itu pada 19 Mac, untuk membawa ke hospital, namun lelaki tersebut enggan memberikan kerjasama.

Oleh itu, hasil bantuan anggota polis, pasukan pegawai perubatan telah berjaya membawanya ke hospital untuk lakukan ujian itu, seterusnya menjalani kuarantin selama 14-hari, di Pusat Kuarantin Hospital Labuan.

Sehubungan dengan itu juga, Jabatan Kesihatan Labuan memaklumkan mana-mana jemaah tabligh yang hadir ke Ijtimak Tabligh di Seri Petaling, yang masih tidak membuat saringan, diminta hadir menjalani saringan COVID-19, di klinik Kesihatan Membedai secepat mungkin. Dalam pada itu, orang ramai yang diminta hadir atau ingin membuat saringan tidak perlu pergi ke Hospital Labuan, namun saringan itu hanya dilakukan di klinik kesihatan Membedai sahaja.