Berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, Polis Labuan menjalankan Ops Khas Sekatan Jalan Raya, bertujuan menasihat orang ramai supaya akur terhadap perintah tersebut.

Timbalan Ketua Polis Labuan, DSP Mohd. Ibrahim Mohd. Ghani berkata, ini agar masyarakat menghadkan perjalanan dan sebaiknya duduk di rumah, jika tiada sebarang urusan penting. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau Operasi Khas Sekatan Jalan Raya, berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan, di Jalan Tun Mustafa, pagi tadi.

Menurutnya, pihak polis akan mengadakan sekatan seperti ini sehingga perintah kawalan berakhir pada 31 Mac nanti. Beliau juga menasihatkan orang ramai yang hendak ke pasar, agar pergi seorang sahaja, dan tidak perlu sehingga 4 orang dalam satu kereta.

Sementara itu, tinjauan kru RTM di pusat bandar mendapati, keadaan lalu lintas lengang dan banyak premis perniagaan ditutup. Ini juga menunjukkan warga Labuan peka dengan situasi semasa sekarang.