Nur Allya Mardiana Jairin, pelajar Tingkatan 2, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan, dinobatkan johan Pertandingan Akhir Nyanyian Lagu Patriotik Atas Talian Peringkat Kebangsaan 2020, Kategori Menengah Rendah sempena Sambutan Hari Merdeka.

Mendendangkan lagu berjudul ‘Gemilang’, nyanyian asal Jacklyn Victor, Nur Allya berjaya mengenepikan 11 peserta akhir yang lain, sekaligus menerima hadiah 400 ringgit.

Sementara naib johan disandang Nesttra Luin, pelajar dari SMK Mat Salleh Ranau, Sabah.

Manakala Muhammad Hazim Ikhwan Mohd. Asri dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur, ditempat ketiga.

Pengetua SMK Labuan, En. Ismail Abdullah ketika dihubungi pemberita RTM berkata, kemenangan itu menjadi satu kejayaan besar kepada sekolah berkenaan, khususnya kepada Labuan.

Beliau berbangga atas kejayaan itu dan berterima kasih atas usaha semua pihak yang terlibat, terutama guru pembimbing yang juga Guru Muzik SMK Labuan, Cikgu Mary Teng Howe Hui, yang telah melatih Nur Allya sehingga memperoleh kemenangan, sesuai dengan slogan sekolah itu ‘SMK Labuan Juara : Setiap Murid Bernilai’.

Keputusan pertandingan diumumkan semalam, dan ia dianjurkan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.