Pembentukan jawatankuasa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadi landasan utama dalam penyelarasan parti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Ini bagi memastikan pertembungan dan pertindihan tidak memberi kelebihan kepada pihak pembangkang, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Setiausaha BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, matlamat utamanya  memastikan kerajaan baharu dapat dibentuk seiring dengan kerajaan pusat, sekaligus memberi keuntungan kepada rakyat Sabah.

Beliau berkata demikian dalam sidang media, di Labuan.

Tan Sri Annuar berkata, keadaan ekonomi Sabah menunjukkan negatif dalam pasca pandemik COVID-19.

Keadaan itu amat membimbangkan, walaupun di peringkat nasional menunjukan pemulihan yang menyerlah.

Katanya, ketidak-tentuan dan tidak selari antara kerajaan negeri dan persekutuan, akan melembapkan lagi proses pemulihan, dan ianya perlukan sokongan rakyat untuk mengubah keadaan itu.

Dalam perkembangan lain, seramai 700-bekas ahli Parti Amanah melibatkan 25 cawangan Parti Amanah Kawasan Labuan, sertai semula Parti UMNO di Labuan.

Borang masuk keahlian diserahkan sendiri oleh bekas Pengerusi parti itu, Chemat Mustapha, kepada Setiausaha BN, Tan Sri Annuar Musa.

Tan Sri Annuar berkata, ibu pejabat Majlis Tertinggi UMNO mengalu-alukan bekas ahli Amanah Labuan mengambil keputusan secara beramai-ramai untuk menyertai semula parti UMNO.

Penyerahan itu turut disaksikan oleh Ketua UMNO Bahagian Labuan, Senator Datuk Bashir Alias.

Sementara itu, Chemat Mustapha berkata, penyertaan semula dalam parti UMNO, disebabkan beliau yakin parti itu satu-satunya parti melayu yang memperjuang dan menyatukan orang melayu dan Islam.