Rakyat Malaysia dirayu untuk mengambil serius Perintah Kawalan Pergerakan yang telah berkuatkuasa HARI INI hingga 31-Mac dalam usaha kerajaan mencegah penyebaran baharu penyakit COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menggesa agar masyarakat membantu Kementerian Kesihatan dengan memainkan peranan masing-masing ke arah memutuskan rangkaian jangkitan COVID-19.

Ia merupakan tanggungjawab setiap individu untuk mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan diri dan keluarga.

Menegaskan bahawa kegagalan bukan pilihan dalam soal menangani COVID-19, Dr Noor Hisham turut memperkatakan tentang bahaya yang mungkin muncul jika masyarakat mengambil sikap sambil lewa. Datuk Dr Noor Hisham berkata, negara bakal mengalami gelombang ketiga virus ini yang seterusnya menjadi lebih besar seperti tsunami jika masyarakat mempunyai sikap tidak kisah.

Dalam perkembangan berkaitan, Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, hasil tinjauan kru RTM Labuan di sekitar pusat bandar mendapati, rata-rata premis perniagaan termasuk kedai makan dan penyedia perkhidmatan, menutup premis masing-masing, termasuk rumah-rumah ibadat.

Keadaan lalu lintas di jalan-jalan raya utama juga lengang, tidak seperti hari bekerja biasa. Orang awam juga kelihatan tidak ramai di pusat bandar, dan mereka yang keluar hanya untuk membeli barangan keperluan. Dan selebihnya, mengambil langkah untuk duduk dan berehat di rumah.

Namun, premis pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka, yang menjual barangan keperluan harian buka seperti biasa, untuk keperluan warga Labuan. Perintah kawalan itu dibuat dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, dan Akta Polis 1967.