Usaha pemulihan ekonomi akan dipertingkat melalui Belanjawan 2021, yang akan dibentang November ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan menyalurkan bantuan kepada semua golongan rakyat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Ia dilaksnakan melalui pelbagai inisiatif, seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), dengan nilai keseluruhan sebanyak 295 bilion ringgit.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2020, di Sibu, Sarawak.

Menurutnya, komitmen terhadap pembangunan Sabah dan Sarawak akan dipertingkat, selain memastikan hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63).

Tambah beliau, Sabah dan Sarawak akan terus kekal dalam Malaysia, dan tidak akan tunduk kepada desakan pihak yang cuba mempertikai kedaulatan negara.

Beliau turut memaklumkan, kabinet bersetuju menubuhkan Majlis Khas MA 63, yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Sementara itu, mengenai sambutan Hari Malaysia beliau berkata, 16 September merupakan tarikh yang penting, kerana ia tidak datang bergolek sekelip mata.

Sebaliknya, hasil perjuangan rakyat dan pemimpin terdahulu yang mahu melihat lahirnya negara Malaysia.