Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) mencadangkan agar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bertanding sebagai pasukan berlainan, di Sukan Malaysia (SUKMA), pada masa depan.

Naib Presidennya, En. Mohamad Fahmy Abd. Jalil berkata, bertanding secara berasingan akan dapat membantu melahirkan lebih ramai pemain muda, berbanding jika bergabung sebagai satu pasukan Wilayah Persekutuan.

KRM turut mencadangkan agar had umur maksimum beraksi di Sukma diturunkan daripada 21 tahun kepada 19 tahun.

Menurut En. Fahmy, ia bagi mewujudkan kesinambungan kepada pemain yang ditempatkan di bawah Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP), dari usia 12 hingga 18 tahun.

Dalam masa sama, beliau yang juga Pengarah Kejohanan KRM berkata, Stadium Ragbi Johor di Mount Austin, yang merupakan venue Sukma Johor, sudah 100 peratus bersedia untuk menganjurkan temasya itu tahun depan.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat bersama Majlis Olimpik Malaysia, di ibu negara.