Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,  memberi peringatan  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan terpaksa dilaksanakan semula, sekiranya kes COVID-19 di dalam negara meningkat dengan mendadak.

Tan Sri Muhyiddin berkata, jika PKP dilaksanakan semula, ia akan memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Beliau juga berkata, kerajaan tidak teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes baharu yang tinggi.

Justeru, beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya terus berwaspada dan tidak leka terhadap peraturan berkaitan kuarantin, pemakaian pelitup muka, serta pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang masih berkuatkuasa, agar wabak itu dapat dikawal. 

Ini kerana, situasi pandemik COVID-19 secara global yang masih menular secara aktif, tidak terkecuali terjadi di negara ini.

Katanya, kes harian COVID-19 yang direkodkan di Malaysia adalah sekitar satu, dua dan adakalanya tiga digit, tanpa pernah mencatatkan kes sifar dan memberikan gambaran bahawa rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia masih belum dapat diputuskan sepenuhnya.

Ini mengambil kira faktor pencegahan dan kawalan penularan jangkitan COVID-19 secara berkesan, memerlukan rawatan spesifik dan vaksin yang efektif serta selamat untuk digunakan.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung menerusi rangkaian televisyen tempatan dan media sosial.