Lebih 10 ribu pengundi berdaftar di Labuan yang akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini, di minta untuk mendaftarkan nama, stesen dan saluran undi dengan Pejabat UMNO Labuan, bermula Khamis ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Labuan, Senator Datuk Bashir Alias berkata, langkah itu memudahkan kepada pengundi berdaftar untuk balik ke Sabah, menunaikan sebagai pemilih semasa hari pengundian nanti.

Beliau berkata, UMNO Labuan telah mengambil inisiatif mengumpulkan maklumat pengundi untuk membantu calon UMNO yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin dan kerusi DUN Lumadan.

Selain itu, pejabat bahagian juga turut membantu menyalurkan maklumat pemilih berdaftar  kepada calon di bahagian lain, di Sabah.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sudah mula mengedarkan kad pengundi kepada 1 juta 103 ribu 646 pengundi, bagi memudahkan pengundi merancang untuk keluar mengundi pada tarikh itu.

Kad tersebut mengandungi maklumat tentang pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pengundi, tarikh, masa pengundian dan cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan.

Selain itu, pengundi juga boleh memeriksa butiran dengan melayari portal SPR, atau aplikasi MySPR Semak, untuk membuat semakan.