Seramai 696 murid menerima sijil masing-masing dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik (MAKA) ke 2, Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) dan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2019 Jabatan Agama Islam (JAWI) Labuan.

Program itu melibatkan kerjasama antara Cawangan Pelajaran JAWI Labaun dengan Majlis Syura Sekolah Rendah Agama (SRA), bertujuan merealisasikan hasrat dan harapan visi dan misi sekolah, melalui suntikan semangat dan pengiktirafan, selain menyemai motivasi intrinsik ke dalam pelajar agar lebih cemerlang dan progresif.

Penolong Pengarah Kanan Cawangan Pengurusan Masjid JAWI Labuan, Ustaz Mohd Zaki Mat Salleh berkata, selain menggalakkan penglibatan masyarakat dalam kalangan murid, ia juga memupuk pelajar menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin dan positif.

Seterusnya, mampu meningkatkan kecemerlangan sekolah serta meningkat keyakinan dan keprihatinan murid terhadap tanggungjawab yang perlu digalas semasa dan selepas persekolahan.

Beliau berkata demikian, ketika berucap merasmikan majlis itu yang diadakan di Dewan Utama Kompleks Darul Kifayah MAIWP Labuan.