Lebih 900 ribu ringgit diperuntukkan untuk melaksana Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN), membabitkan 13 buah rumah baharu nelayan dan juga 31 buah rumah untuk dibaikpulih, tahun 2018 di Labuan.

Selain itu, pada tahun 2019, 2 lagi projek rumah baharu dengan peruntukkan 76 ribu ringgit bakal disiapkan, manakala 4 lagi rumah dijangka bakal menikmati peruntukan baikpulih, lebih kurang 60 ribu ringgit pada tahun ini.

Menurut satu kenyataan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Labuan, Program PKPN yang dilaksana merupakan usaha Kerajaan Persekutuan agar golongan berkenaan menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan selesa.

Usaha itu dibawah Keberhasilan Utama Negara (NKRA), membantu meningkatkan kualiti dan taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah di Labuan.

Di samping itu, program itu meliputi baik pulih, membina rumah baharu dan mewujudkan penempatan semula berprasarana asas, khusus untuk komuniti itu.

Sementara itu, LKIM merupakan agensi yang memainkan peranan penting dalam memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan melalui peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara.

Selain itu, agensi itu juga bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan nelayan, khususnya di pulau bebas cukai ini.

Ia dilakukan melalui program dan aktiviti yang dijalankan LKIM dan Persatuan Nelayan Kawasan di Labuan, melalui pendekatan dan maklumbalas perkhidmatan yang diberikan kepada komuniti nelayan.

Melalui Mini Karnival LKIM dan Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan SEMALAM, beberapa pendekatan diambil dalam menyampaikan maklumat dan insentif demi kesejahteraan masyarakat nelayan.

Antaranya, Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi nelayan berdaftar, di bawah LKIM menggantikan caruman insurans nelayan kelompok kepada SKSPS dibawah Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (PERKESO).

Skim ini memberi perlindungan kepada individu meliputi Bencana Pekerjaan termasuk Penyakit Pekerjaan dan Kemalangan semasa menjalankan aktiviti pekerjaan.

Program itu telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LKIM, En. Azib Yaacob.