Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM) yang ingin meneliti keperluan mengenakan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke Semenanjung dari Sabah selepas urusan pilihan raya negeri (PRN).

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata walaupun situasi agak terkawal, langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengelak penularan COVID-19 yang lebih parah.

Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata perkara itu akan dibincang dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambahnya, pihak KKM akan mengguna pakai garis panduan pencegahan COVID-19 yang digunakan pada dua Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini iaitu PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Pahang dan PRK DUN Slim Perak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah manakala hari mengundi awal pada 22 September dengan pencalonan selesai hari ini.