Dalam perkembangan lain, menerusi Bantuan Prihatin Nasional (BPN), lebih 4 juta belia di seluruh negara menerima manfaat bantuan itu sebagai inisiatif kerajaan, bagi membantu meringankan beban generasi muda dalam mendepani pandemik COVID-19.

Jumlah itu tidak termasuk bantuan sekali bayar, subsidi gaji dan bantuan dana perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Dr. Santhara Ramanaidu berkata, kementerian itu dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, telah memperkenal “Inisiatif Rentas Kementerian” yang bertujuan merangsang sosioeknomi belia, menerusi sektor keusahawanan pasca COVID-19, melalui model Inisiatif Usahawan Muda Bandar.

Katanya, di bawah inisiatif itu, kiosk perniagaan akan ditawarkan kepada sekurang-kurangnya 1 ribu 122 usahawan muda, di 169 lokasi strategik di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tambah beliau, setakat ini, mereka yang terjejas akibat pandemik itu menerima inisiatif, termasuk pengecualian sewa premis selama 6 bulan di Labuan, 3 bulan dalam bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), elaun khas kepada petugas barisan hadapan, pek makanan, ventilator untuk hospital, dan penangguhan ansuran bulanan 6-bulan terhadap Projek Perumahan Rakyat, serta perumahan awam DBKL.

Beliau berkata demikian dalam satu majlis, di Labuan.