Kementerian Wilayah Persekutuan menerusi Perbadanan Labuan akan mengkaji semula peruntukkan yang diperlukan untuk menaiktaraf dan juga membaik pulih keperluan yang melibatkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), di Labuan.

Ini kerana industri perusahaan seperti ikan bilis mempunyai potensi yang besar untuk berkembang maju, seperti di tempat lain, di negara ini.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Dr. Santhara Ramanaidu berkata, perkara itu akan dibawa ke kementeriannya untuk kelulusan peruntukkan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, ketika mengadakan lawatan ke perusahaan IKS ikan bilis, di Kampung Bebuloh Laut, Labuan.

Dalam pada itu, pengusaha ikan bilis menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas keprihatinan kepada rakyat, membantu meningkatkan taraf hidup sosioekonomi masyarakat, di wilayah ini.

Ia berikutan pihak kerajaan terus komited memberikan keprihatinan terhadap pengusaha IKS tempatan, khususnya di wilayah ini.

Pengusaha Ikan Bilis, Pn. Masnah Majali berkata, bantuan daripada pihak kerajaan yang prihatin, mampu meningkatkan taraf penduduk setempat, seterusnya membantu meningkatkan hasil keluaran yang diusahakan.