‘Dekad ini, Dekad Anda’, tema sempena Sambutan Hari Belia Negara, menggambarkan kesungguhan kerajaan mengikhtiraf golongan belia.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Dr. Santhara Ramanaidu berkata, pengikhtirafan itu juga menandakan golongan berkenaan sebagai antara penyumbang utama kepada pembangunan negara.

Katanya, selain itu, kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu golongan belia agar terus aktif, yang turut menerima impak susulan penularan pandemik COVID-19.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Belia Negara dan Penyampaian Anugerah Perdana Belia 2020 peringkat Labuan, yang dihadiri hampir 150 orang.

Pada majlis itu, Dato’ Sri Dr. Santhara menyampaikan anugerah bagi 3 kategori utama, iaitu individu lelaki dan wanita, serta kategori pertubuhan belia.

Majlis turut dihadiri, Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato’ Sri Amir Hussien; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Pn. Mahanum Fauzi; Presiden Majlis Belia Labuan, En. Mohd. Rezuan Md. Nawawi, serta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Sementara itu, Kelab Belia  Anak Layangan (KEBAL), dinobatkan Johan Anugerah Perdana Belia Negara 2020 peringkat Labuan, bagi Kategori Pertubuhan.

Kelab itu menerima wang tunai 10 ribu ringgit berserta trofi dan sijil, yang diwakili oleh Naib Pengerusi Kelab, En. Ahmad Nazri Jamal.

Bagi kategori individu lelaki, disandang oleh En. Mohammadthir Malik, dari Persatuan Belia Beliawanis Kampung Bukit Kuda (PBBBK); manakala kategori wanita pula dimenangi oleh Pn. Noor Azila Saftu, dari KEBAL.

Mereka masing-masing menerima wang tunai 3 ribu ringgit, trofi dan sijil.

Penerima yang ditemui menzahirkan rasa syukur atas kejayaan yang dikecapi, termasuklah kesulitan berdepan ancaman COVID-19.

Naib johan kategori pertubuhan dimenangi oleh Persatuan Belia dan Beliawanis Kg. Sungai Lada (BELADA), yang membawa pulang wang tunai 5 ribu ringgit serta sijil.

Manakala, naib johan bagi kategori individu lelaki dan wanita, disandang oleh Mohd Izuandi Jaludin dan Nurul Syakinah Sairan, masing-masing menerima 1 ribu 500 ringgit serta sijil.