Bagi memastikan komuniti khususnya di Labuan untuk bebas daripada jangkitan COVID-19 100 peratus adalah mustahil.

Ia berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang memberi kelonggaran kepada masyarakat salah satunya adalah kebenaran untuk merentas negeri.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, menerusi pelaksanaan itu, sukar untuk pihaknya menjalankan pemeriksaan terhadap penumpang dan pelancong yang masuk ke pulau ini memandangkan jumlah kemasukan dianggarkan melebihi 2 ribu sehari.

Walau bagaimanapun, pemeriksaan dan saringan secara rawak terus dilakukan terhadap penumpang atau pengunjung yang berisiko atau yang datang dari kawasan zon merah.

Justeru, Dr Ismuni menyeru warga Labuan agar mempunyai tahap kesedaran yang tinggi terhadap bahaya pandemik ini dan memberikan kerjasama sewajarnya dengan hadir sendiri ke hospital atau klinik berhampiran untuk membuat ujian COVID-19 jika terdapat gejala atau symptom.