Seramai 7 ribu pengendali taman asuhan kanak-kanak (taska) berdaftar, dijangka akan menerima manfaat nilai geran sehingga 5 ribu ringgit yang diperuntukkan oleh kerajaan, menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).  

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, inisiatif pemberian geran secara ‘one off’ itu antara lain diharap akan menggalakkan lebih banyak taska yang belum mendaftar untuk berbuat demikian dengan kementerian berkenaan. 

Katanya, sehingga kini jumlah taska yang berdaftar dengan kementerian adalah sebanyak 5 ribu 700 dan hampir 5 ribu pengusaha terjejas selepas taska ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambah beliau, untuk kembali beroperasi, pengusaha taska perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) termasuklah penyediaan beberapa keperluan serta peralatan tertentu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di ibu negara.