Kaedah pungutan dan agihan zakat bersistematik yang dilaksanakan oleh institusi zakat di negara ini boleh meningkatkan lagi integriti dalam pengurusan dana bagi membantu golongan yang memerlukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sistem sedemikian juga akan membantu pihak zakat menyelaras dan menstruktur maklumat penerima serta menambah baik kekurangan yang ada.

Beliau berkata, sistem yang dimaksudkan itu bukan semata-mata tentang zakat tapi digabungkan dengan wakaf, justeru kita akan nampak data berkenaan dengan mereka yang memerlukan.

Oleh itu, berdasarkan kewangan yang terhad dan cara yang begitu dititikberatkan, akan membentuk integriti tinggi dan keamanahan yang baik.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan pihak zakat menggandakan promosi kepada orang ramai agar lebih ramai umat Islam menunaikan kewajipan tersebut selain menyebarkan maklumat mengenai agihan bantuan yang telah dilaksanakan.