Kira-kira 45 billion ringgit kerugian dialami pemain industri pelancongan di negara ini dari Januari hingga Jun lepas, ekoran pandemik Covid-19. Oleh itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya akan memperkenalkan Dana Khas untuk pelancongan bagi membantu pembangunan usahawan pelancongan kecil dan sederhana.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, usaha itu antara inisiatif memperkasa pelancongan domestik di bawah Kempen Cuti-Cuti Malaysia. Dana tersebut merupakan pakej tawaran pinjaman mudah minimum 50 ribu ringgit dan maksimum 10 juta ringgit berdasarkan potensi projek yang dicadangkan.

Katanya, bagi membantu pengusaha industri pelancongan tempatan, geran padanan yang dikenali sebagai Galakan Melancong Malaysia atau GAMELAN akan diperluas bagi tujuan aktiviti promosi dan pemasaran. Ia untuk memperhebat aktiviti dan promosi perhubungan awam kementerian melalui platform media sosial dan kolaborasi bersama syarikat korporat.

Beliau berkata demikian dalam satu majlis di Sarawak.