Seorang lelaki tempatan berumur 29 tahun terlibat kemalangan maut jalan raya akibat terbabas dan melanggar sebatang pokok di Labuan, kira-kira pukul 2.24 minit awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Labuan, Superintenden Muhamad Farid Ahmad berkata, lelaki yang bekerja sendiri memandu kenderaannya dari arah Pohon Batu menuju ke pusat bandar melalui Jalan Tun Mustapha.

Apabila melalui satu selekoh, kenderaan yang dipandu hilang kawalan, lalu terbabas dan melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

Impak pelanggaran itu, mangsa tercampak keluar daripada kenderaan.

Setibanya pasukan perubatan dan ambulan di tempat kejadian, mendapati mangsa telah meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Mangsa telah dibawa ke Hospital Nukleus untuk tujuan bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987.