Jalinan kerjasama antara 2 hala dalam pelbagai bidang, mampu menjana kondusif yang lebih mampan, sekaligus memberikan faedah kepada masyarakat, khususnya di Labuan.

Oleh itu, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS-KAL), bersedia menjalin hubungan kerjasama dengan Perbadanan Labuan, bagi mencapai kesejahteraan rakyat.

Ini dinyatakan Pengarah UMS-KAL, Profesor Dr. Jualang Abdullah Gansau, ketika mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman, di Wisma Perbadanan Labuan.

Beliau berkata, kepakaran yang dimiliki pensyarah dan mahasiswa kampus itu dapat memberi manfaat kepada komuniti, meliputi bidang kewangan dan teknologi maklumat.

Ia sejajar kampus berkenaan memiliki 2 fakulti dalam bidang berkaitan, iaitu Fakulti Kewangan Antarabangsa (F-KAL) dan Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI).

Hadir sama dalam kunjungan itu, Timbalan Pendaftar Kanan UMS-KAL, En. Zamri Mohammad Tuah, dan Pensyarah Kanan F-KAL, Dr. Sharinah Puasa.