Perbadanan Labuan memandang serius mengenai kejadian hakisan pantai, dan berusaha menanganinya menerusi Projek Pembangunan Penambakan Dan Perlindungan Pantai, bagi menjamin keselamatan penduduk.

Ini termasuk kawasan pantai Kampung Sungai Miri, sejauh 1.4 kilometer, akan disegerakan pelaksanaannya awal tahun depan, berikutan projek berkenaan dalam proses penyediaan dokumentasi dan teknikal di peringkat akhir.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman berkata, permohonan peruntukkan bagi projek pembangunan yang segera dilaksanakan telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK 11).

Katanya, bagi menyelesaikan masalah itu, Perbadanan Labuan bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Labuan, mengenai mitigasi banjir kilat dengan mendalamkan sungai dan rizab sungai untuk kawasan takungan hakisan air dan pantai.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas meninjau ke beberapa lokasi kawasan pantai yang mengalami hakisan teruk.

Hadir sama, Pengarah JPS Labuan, En. Juniaddi Awang Tuah, dan Pengarah JAS Labuan, En. Amir Hamzah Musa.

Di Labuan, sebanyak 22 lokasi telah dikenalpasti terjejas akibat hakisan pantai, termasuk di Kampung Tanjung Kubong dan Kampung Tanjung Aru.