Bagi memastikan masjid dan surau di pulau ini selamat daripada wabak COVID-19, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Penggerak Komuniti Dasar Negara (PKN) Labuan, bersedia untuk memberi perkhidmatan sanitasi secara sukarela.

Pengerusinya, Pn. Dayang Rusimah Mohd. Din berkata, kerja-kerja sanitasi setiap masjid itu akan dlaksanakan secara berperingkat, bermula dari Masjid Muzakirullah Kampung Lubok Temiang, dan Surau Nurul Islam di pusat bandar.

Beliau berkata, ia bertujuan bagi memastikan semua masjid dan surau yang mula dibenarkan untuk umat Islam beribadat, bebas dan selamat dari wabak itu.

Kerja-kerja sanitasi itu membabitkan keseluruhan kawasan masjid, termasuk di dewan solat, tempat wuduk, dan tempat letak kereta.

Bagaimanapun katanya, proses sanitasi perlulah dilakukan secara kerap, iaitu sebelum dan selepas solat berjemaah di jalankan, bagi memastikan kawasan masjid berkenaan benar-benar bebas daripada penularan itu.

Justeru, adalah disyorkan agar setiap masjid dan surau mempunyai peralatan pembersihan sendiri, dan kerja-kerja pembersihan dapat dilakukan sendiri oleh jawatankuasa Masjid.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada sebuah syarikat swasta, yang sanggup menaja kos peralatan dan bahan pembersihan yang diperlukan, dalam kerja-kerja sanitasi berkenaan.