Saluran baharu berita RTM berjaya melangkah ke hadapan dan secara keseluruhan mampu memberikan sumbangan lebih besar, khususnya dalam penyampaian maklumat kepada rakyat.

Saluran yang berteraskan ‘Yang Sahih di Berita RTM’, memberi fokus kepada berita dan program berkaitan berita yang bersiaran 24 jam sehari, meliputi pelbagai bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Saifuddin Abdullah berkata, menerusi saluran itu, rakyat di negara ini dapat membezakan antara berita benar dan palsu.

Beliau berkata, media perlu mengambil pendekatan baharu dengan membanjiri ruangan yang ada dengan berita sahih, selain memerangi berita palsu dengan mengambil  tindakan undang-undang dan membuat penafian.

Bagi memerangi berita palsu dan menyampaikan berita sahih, Radio Televisyen Malaysia (RTM) melancarkan saluran baharu iaitu Saluran Berita RTM.

Beliau berkata demikian pada sidang media, selepas melancarkan saluran itu di Angkaspuri, malam tadi.

Saluran itu boleh diakses melalui siaran televisyen digital, MyFreeview Saluran 123.