Kerajaan juga membenarkan penganjuran majlis sosial termasuk majlis perkahwinan, bermula 1 Julai ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, majlis pertunangan, majlis berkaitan keagamaan seperti tahlil, akikah, doa selamat serta majlis sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari lahir, turut dibenarkan.

Beliau berkata, majlis boleh diadakan selama 3 hingga 5 jam, dan kapasiti kehadiran tidak melebihi 250 orang pada satu-satu masa, serta tertakluk kepada saiz tempat majlis.

Katanya, hidangan secara buffet tidak dibenarkan, namun diberi kelonggaran sekiranya buffet itu dihidangkan oleh pramu-saji.

Datuk Seri Ismail Sabri berkata, antara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan adalah; penganjur perlu menyediakan kaunter saringan kesihatan di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan tetamu, pemakaian pelitup separuh muka, serta perlu merekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual.

Selain itu, beliau berkata, pintu keluar dan masuk bagi sesuatu majlis perlu diasingkan, bagi mengelak kesesakan hadirin.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan bakal penganjur majlis tidak meneruskan hasrat tersebut, sekiranya mendapati sukar untuk mengawal keadaan dan kehadiran ramai orang.