Aktiviti ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada hujung Julai ini dibenarkan di Wilayah Persekutuan, dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, aktiviti ibadah korban itu boleh diadakan di semua masjid, surau serta kawasan yang dibenarkan oleh pihak berkuasa agama di Wilayah Persekutuan, dan perlu mengikut panduan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM).

Beliau berkata, kapasiti kehadirian petugas dihadkan kepada maksimum 30 orang pada satu-satu masa bagi menguruskan seekor lembu, dan aktiviti ibadah korban perlu dilaporkan kepada Pejabat Kesihatan negeri atau Daerah yang berdekatan.

Dalam pada itu, pihak penganjur perlu memastikan bilangan haiwan korban adalah bersesuaian dengan keupayaan petugas. 

Manakala, proses melapah, memotong dan pembahagian daging hendaklah dibuat di tempat yang lapang, selain mengelakkan 3S iaitu kawasan yang sesak, sempit dan berkomunikasi secara dekat.

Tambah beliau, antara SOP yang perlu dipatuhi antaranya; penyediaan kaunter keluar masuk, pemeriksaan suhu, pemakaian pelitup separuh muka, serta sanitasi tangan.

Selain itu, kehadiran jemaah petugas perlu direkodkan, dan mereka yang tidak sihat serta kanak-kanak bawah 12 tahun, tidak dibenarkan menyertai aktiviti itu.