Radio Televisyen Malaysia (RTM) bakal mengukir sejarah dengan pelancaran saluran terbaharu, iaitu saluran Berita RTM yang akan dilancarkan malam  ini.

Ia bakal menjadi satu lagi penanda aras yang tinggi dalam dunia penyiaran Malaysia. Dengan penambahan saluran Berita RTM itu, RTM kini memiliki 5 saluran termasuk TV1, TV2, TV Okey, dan RTM Sports.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran, Pn. Nor Yahati Awang, Saluran Berita RTM mempunyai 25 slot berita, 12 program bicarawara, terus komited bagi menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat sebagai dasar kepada berita-berita utama dalam dan luar negara.

Beliau berkata, jabatan itu akan memastikan RTM sebagai perintis dan peneraju yang berwibawa dalam teknologi penyiaran digital, sekaligus akan mampu menjadi jenama utama yang dibanggakan, agar saluran Berita RTM setanding dengan saluran berita antarabangsa.

Katanya, beliau yakin pencapaian itu adalah satu kebanggaan untuk negara dan perlu diwujudkan sebagai platform lebih luas penyampaian informasi dan maklumat, sejajar keperluan semua lapisan masyarakat. Saluran terbaharu ini telah menjalani tempoh percubaan selama dua tahun.

Pewujudannya juga tepat pada masanya dalam situasi negara menghadapi krisis pandemik COVID-19, yang memerlukan penyaluran lebih banyak maklumat dari semasa ke semasa. Sebelum ini, semua berita RTM disiarkan di saluran TV1 dan TV2. Saluran Berita RTM boleh diakses menerusi My Freeview 123.