Jabatan Penerangan Labuan terus komited memainkan peranan sebagai perantara dalam memberi penerangan berhubung isu nasional dan semasa dalam usaha menyampai dasar kerajaan di samping mengekang penyebaran berita tidak benar.

Pengarahnya En Supian Musa berkata, dengan itu inisiatif Info On Wheels (IOW) terus dipergiat dalam mempelbagai kaedah penyampaian maklumat melalui unit hebahan bergerak pihaknya. Beliau berkata demikian dalam Slot Roger-Roger di stesen radio LabuanFM.

Menurutnya, hebahan bergerak dilakukan dilokasi-lokasi  tumpuan seperti Pasar Sentral, UTC, kawasan Pusat Bandar selain perkampungan dan penempatan perumahan. Terbaharu, IOW Ramadan turut menyalurkan 100 kotak kurma kepada surau, masjid dan petugas barisan hadapan bersempena bulan penuh keberkatan ini.

En Supian berkata, pendekatan bersemuka ini memberi impak yang positif terhadap dasar yang ingin disampai serta memberi penerangan terhadap berita-berita palsu yang disebar oleh individu tidak bertanggungjawab.