Sasaran untuk menghantar pulang kesemua pelajar yang menuntut di Intitusi Pengajian Tinggi (IPT) di Labuan sebelum 20 Mei berjalan lancar. Ia melibatkan pelajar dari Kolej Matrikulasi Labuan, Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMS KAL) dan Intitut Latihan Perindustrian (ILP) Labuan yang telah bermula sejak 2 Mei lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr Fary Akmal Osman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pusat Bencana Daerah (JPBD) Labuan, kejayaan itu merupakan usaha serta semua pihak terlibat bagi memastikan tiada pelajar yang terkandas di Wilayah ini dalam keadaan Wabak COVID-19 yang melanda dunia ketika ini. Di samping itu, memastikan kesemua pelajar berkenaan kembali ke pangkuan keluarga dalam keadaan selamat khususnya kepada mereka yang akan menyambut perayaan Aidilfitri yang bakal tiba.

Dr Fary turut menzahirkan rasa berterima kasih dan penghargaan kepada petugas-petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam memastikan wilayah ini serta penduduknya selamat daripada ancaman pandemik COVID-19. Walaupun Labuan telah diisytihar sebagai salah satu negeri zon hijau, namun orang ramai disaran untuk terus peka dan sentiasa menitikberatkan kebersihan diri yang tinggi bagi mencegah penularan wabak itu.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 154 pelajar Kolej Matrikulasi Labuan (KML) telah dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing di Tanah Besar Sabah, AWAL PAGI TADI. Pengerusi JPBD Labuan, Dr Fary Akmal Osman, kesemua pelajar tersebut dihantar menggunakan 8 buah bas dari Labuan seterusnya menaiki feri kenderaan Labuan ke Menumbok kemudian menuju ke Tawau.

Katanya, kesemua pelajar berkenaan merupakan kumpulan akhir dari KML yang dihantar pulang.

Terdahulu, seramai 2 ribu 232 pelajar kolej berkenaan telah dihantar oleh pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan yang melibatkan pelbagai agensi dan jabatan. Kesemua pelajar telah diberikan taklimat mengenai pematuhan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang telah dikuatkuasakan bagi memastikan mereka faham dan pulang dengan selamat ke kampung halaman masing-masing.

Dalam masa sama, Dr Fary turut memaklumkan pihak JPBD Labuan juga telah bekerjasama dengan pihak UMS KAL untuk menghantar pulang kira-kira 70 pelajar kampus berkenaan  juga ke Sabah menggunakan pengangkutan laut dan darat. Manakala, seramai 48 pelajar kampus itu lagi akan dihantar pulang ESOK, menggunakan pengangkutan udara ke Bintulu, Sarawak.

Ketika diminta mengulas mengenai anak jati Labuan yang menuntut di luar Labuan, beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan berkata, kira-kira 20 pelajar dijangka pulang dari Semenanjung ke Labuan dan dianggarkan ada pertambahan jumlah bilangan pelajar. Dr Fary berkata, pihaknya masih menunggu data terkini daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk jumlah sebenar pelajar-pelajar yang akan pulang ke Labuan. Terdahulu, kumpulan pertama melibatkan seramai 232 pelajar telah kembali dengan selamat ke Labuan dari Semenanjung, JUMAAT Lepas.

Justeru, pelajar-pelajar yang akan pulang ataupun telah tibadi  kampung halaman masing-masing diminta untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diberikan bagi memastikan kesemua mereka bebas daripada wabak COVID-19.