Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sabah berjaya merampas dadah jenis Ganja, anggaran berat 1.262 kilogram yang bernilai 7 ribu ringgit berdasarkan nilai pasaran, di sebuah rumah kediaman, Taman Perumahan di Labuan.

Turut ditahan, 3 warga tempatan membabitkan sepasang suami isteri dan seorang wanita yang merupakan saudara ipar suspek, lingkungan berumur 20an, kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.

Ketua Polis Labuan, Superitendan Muhamad Farid Ahmad berkata, hasil serbuan dilakukan, menjumpai 1 ketulan mampat daun kering yang dibalut dengan plastik lutsinar.

Beliau berkata, serbuan itu diketuai oleh seorang pegawai bersama 6 anggota JSJN.

Dalam pada itu, suspek lelaki didapati positif dadah jenis berkenaan, manakala kedua-dua suspek yang lain bebas dari sebarang pengaruh dadah, selepas hasil pemeriksaan air kencing.

Superitendan Muhamad Farid berkata, modus operandi untuk mendapatkan bekalan dadah itu dengan menggunakan perkhidmatan pos laju dari Kuala Lumpur yang dihantar terus ke rumah suspek.

Kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah hari ini, bagi mendapatkan perintah tahanan reman selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

Manakala, kes disiasat di bawah sek 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman mati mandatori.