Dalam usaha meningkatkan ekonomi dan pelaburan di wilayah ini, Labuan perlu berada dalam kerangka pelan pembangunan ekonomi Sabah. Ia dilihat mampu membantu dalam menjana pembangunan ekonomi di kedua dua wilayah berkenaan.

 Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli, selepas  mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal di pejabatnya KELMARIN berkata,  pada masa ini Labuan hanya bergantung kepada pembangunan sektor swasta.

Justeru, Labuan sebagai sebuah pusat Bandar yang mempunyai pelabuhan serta lapangan terbang perlu perancangan pembangunan yang seimbang, yang turut membantu merancakkan pembangunan di Menumbok, Kuala Penyu dan Beaufort.

Kunjungan hormat itu turut disertai oleh 7-dewan perniagaan Labuan, antara lain mengemukakan 5 cadangan kepada kerajaan negeri Sabah termasuk peruntukkan kerajaan negeri untuk parlimen Labuan, menarik pelabur ke Sabah dan Labuan serta rangka pembangunan Menumbok- Kuala Penyu.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Sabah memberi jaminan bahawa pembangunan ekonomi dan pelaburan pulau ini menjadi antara yang ingin dilihat oleh beliau dan kerajaan negeri Sabah untuk dibangunkan.

Sementara itu, dalam usaha memacu pertumbuhan Negara, kerajaan negeri Sabah merancang memanfaatkan kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, turut mempunyai perancangan untuk mengaktifkan industri pemprosesan hiliran sektor tertentu di Sipitang yang memberikan kesan positif kepada Pulau Labuan.

Tambah beliau, bagi menarik pelancong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, Labuan perlu komited dalam membangunkan industri pelancongan di pulau bebas cukai ini.

Katanya lagi , kerajaan Sabah menyokong cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah, seterusnya membantu merancakkan pembangunan ekonomi Labuan dalam jangka masa panjang.