Penyampaian maklumat dan pekhidmatan secara efisyen dan berfokus perlu dilaksanakan secara berterusan selaras dengan perubahan isu semasa dan masyarakat sekeliling.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli berkata, kepelbagaian program dan usaha berterusan daripada agensi kerajaan adalah platform yang tepat dalam memperkenal serta mewar-warkan perkhidmatan disediakan mengikut dasar-dasar semasa dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.

Tambah beliau, dengan mengoptimumkan sumber sedia ada serta menyahut saranan perbelanjaan berhemah oleh kerajaan, usaha-usaha membantu rakyat dapat dijalankan secara usahasama antara agensi kerajaan dan komuniti selaras dengan konsep ‘Kebajikan Tanggungjawab Bersama’.

Datuk Rozman berucap ketika merasmikan Program One Stop Help Centre (KAWAN) anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Labuan bertempat di Dewan Komuniti Kampung Sungai Bedaun.

Sementara itu, Pengarah JKM Labuan, En Ansharey Matarsad berkata, program One Stop Help Centre (KAWAN), merupakan satu program pendampingan sosial, yang bertanggungjawab mengadakan perkhidmatan di komuniti setempat

Program itu bertujuan untuk memudahkan mendapat perkhidmatan yang merangkumi golongan sasar yang telah digariskan.

En Ansharey berkata, program ini menggunakan pendekatan secara outreach, yang mana urusan penyampaian perkhidmatan tidak lagi hanya tertumpu di pejabat, sebaliknya pihak JKM akan keluar mendampingi dan mengenalpasti kumpulan sasar bagi menyalurkan perkhidmatan yang diperlukan.

Program itu turut mendapat kerjasama daripada rakan strategik seperti Perbadanan Labuan, Jabatan Penerangan Labuan, dan pelbagai agensi serta jabatan kerajaan.